In the News

Trinity lancar projek GDV bercampur RM260j akhir bulan

Berita Harian - Monday, 02 April 2012

TRINITY Group Sdn Bhd, akan melancarkan projek pembangunan bercampur, The Zeva dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM260 juta akhir bulan ini. Projek membabitkan 778 unit kediaman termasuk studio, apartmen servis dan kedai itu akan dibina berdasarkan struktur moden kontemporari selain menyediakan pelbagai kemudahan bertaraf mewah.

Pengarah Urusannya, Dato’ Neoh Soo Keat, berkata pembinaan The Zeva di tapak seluas 1.4 hektar di Seri Kembangan, Selangor akan bermula bulan depan dan dijangka siap Mei 2015.

“Trinity menawarkan kediaman mampu milik bagi unit studio, apartmen servis dan kedai masing-masing pada harga bermula RM200,000, RM300,000 dan RM2.8 juta,” katanya kepada Berita Harian.

 The Zeva yang dimajukan di tanah pajakan akan mengandungi tiga blok menempatkan 320 unit unit studio, 446 unit apartmen servis serta 12 unit kedai tiga dan empat tingkat, selain 1,500 lot tempat letak kenderaan.

Bagi unit studio dan apartmen servis, ia akan dilengkapi dengan tiga peringkat teres udara, kemudahan gentian optik, empat peringkat keselamatan, kolam renang, gimnasium, sauna, mesin pelupusan sisa buangan bernilai lebih RM1,000 seunit dan penghawa dingin, manakala kedai pula dilengkapi lif individu.

The Zeva yang boleh dihubungkan menerusi empat laluan utama iaitu Lebuh Raya Maju, Lebuh Raya Damansara-Puchong, Lebuh Raya Lembah Klang Selatan dan jalan biasa selain berhampiran dengan Cyberjaya dan Putrajaya disasarkan kepada golongan generasi muda, tambah Neoh.

“Bagi unit kedai yang ditawarkan, kami akan mempromosikan ia sebagai hab makanan dan minuman (F&B),” katanya.

The Zeva, katanya, dijangka menyumbang 40 peratus kepada unjuran pendapatan Trinity ini, dan pihaknya optimis mampu mencapai sasaran berkenaan berikutan projek itu dibangunkan mengikut binaan moden yang mendapat perhatian pembeli masa kini.

“Berdasarkan kejayaan jualan beberapa projek hartanah kami sebelum ini, di samping harga, kualiti dan kemudahan mewah yang ditawarkan, kami yakin dapat mencapai sasaran itu,” katanya.

Sementara itu, Neoh berkata, Trinity kini sedang meninjau beberapa kawasan berpotensi untuk dibeli di sekitar Pulau Pinang dan Johor Bahru.

“Buat masa ini kami masih meninjau kawasan berpotensi dibangunkan di luar Lembah Klang,” katanya, sambil menambah Trinity kini masih memiliki simpanan tanah sebanyak lapan hektar di Lembah Klang untuk dimajukan.

Share this