In the News

237 rumah di Trinity Wellnessa habis dijual

Harian Metro - Friday, 06 May 2022

 SEMUA rumah Trinity Wellnessa terjual dengan nilai RM156 juta.

 

Pemaju hartanah butik, Trinity Group Sdn Bhd mencapai jualan 100 peratus bagi pembangunan fasa pertama Trinity Wellnessa yang terdiri daripada 237 unit kediaman dengan jumlah jualan bernilai RM156 juta.

Berikutan maklum balas menggalakkan yang diterima pasaran, pelancaran fasa kedua dan terakhir pembinaan kondominium berkenaan dijadualkan bermula akhir bulan ini.

Pengasas dan Pengarah Urusan Trinity, Dato' Neoh Soo Keat berkata, setiap hartanah direka Trinity Group bermatlamat memberi takrifan dan gambaran baharu kehidupan bandar.

"Fokus utama kami adalah memberikan nilai pada industri hartanah menerusi usaha relevan dan seiring keperluan semasa pasaran.

"Pembangunan Trinity Wellnessa adalah projek yang amat kami banggakan kerana ia yang pertama dalam pelbagai aspek.

"Trinity Wellnessa berhasrat menerapkan gaya hidup sejahtera yang bersifat holistik dan apabila pelanggan memilih membeli kediaman di Trinity Wellnessa, mereka mempunyai ruang kehidupan mengutamakan kesejahteraan serta membolehkan menikmati kehidupan tenang," katanya

Direka sebagai projek pembangunan kondominium era baru, Trinity Wellnessa menawarkan penduduk pengalaman kesejahteraan menyeluruh, sejajar dengan hasrat menyediakan pengalaman kesejahteraan yang holistik kepada rakyat Malaysia terutama dengan peralihan negara ke fasa endemik.

Dibina di atas tanah pegangan bebas seluas 3.9 ekar (1.58 hektar) di 'Beverly Heights' dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM315 juta, Trinity Wellnessa terdiri daripada dua menara setinggi 30 tingkat yang merangkumi 463 unit kediaman.

Unit terbabit terdiri daripada tiga atau empat bilik tidur dan dua atau tiga bilik air dengan keluasan binaan 1,008 dan 1,286 kaki persegi.

Selain itu, Trinity Wellnessa direka untuk memenuhi peningkatan kehendak pasaran terhadap aspek keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan yang dipertingkat.

Ia menerapkan rekaan pelbagai fungsi bagi keselesaan penduduk agar mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih sihat dalam cara baharu setiap hari dengan mudah.

Source: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2022/05/839142/237-rumah-di-trinity-wellnessa-habis-dijual

Share this