In the News

Trinity Group sasar tiga projek bertingkat baharu

Berita Harian - Saturday, 05 June 2021

Pemaju hartanah, Trinity Group Sdn Bhd, merancang untuk melancarkan tiga projek hartanah bertingkat di Lembah Klang tahun ini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1.16 bilion. Pengasas dan Pengarah Urusannya, Datuk Neoh Soo Keat, berkata dua daripada projek itu akan dilancarkan di Ampang Utara manakala satu lagi di Bandar Kinrara.

Katanya, projek pertama yang bakal dilancarkan ialah dua blok kondominium berstatus pegangan bebas, Trinity Wellnessa di Ampang Utara dengan GDV RM318 juta. "Projek yang dibangunkan di atas tanah seluas 1.57 hektar dijangka dilancarkan pada akhir bulan ini dan akan mengambil masa selama empat tahun untuk disiapkan. "Kondominium setinggi 30 tingkat termasuk enam tingkat podium, mengandungi 463 unit merangkumi 10 unit di setiap tingkat dan mempunyai tiga lif di setiap blok kediaman," katanya ketika ditemubual bersama BH secara maya baru-baru ini.

Tiga jenis pilihan saiz kediaman

Mengulas lanjut, Soo Keat berkata, pihaknya menawarkan tiga jenis pilihan saiz kediaman iaitu Jenis A berkeluasan 1,008 kaki persegi (kps) yang mengandungi tiga bilik tidur dan dua bilik air. Katanya, bagi Jenis B yang juga unit dwi-kunci pula berkeluasan 1,286 kps dan mempunyai empat bilik tidur serta tiga bilik air. Kedua-dua jenis ini, jelasnya, ditawarkan di antara dua hingga tiga ruang parkir. "Bagi Jenis C, ia adalah unit penthouse berkeluasan 2,585 kps dan menawarkan 5+1 bilik tidur dan 5+1 bilik air dengan empat ruang parkir. Namun, hanya sebuah unit ini yang akan dijual. "Harga rumah akan dijual pada harga bermula dari RM563,888 seunit dan yuran penyelenggaraan ialah 36 sen bagi setiap kps," katanya.

Beliau berkata, Trinity Wellnessa ialah projek pertamanya yang berkonsepkan 'Family Wellness' atau kesejahteraan keluarga selain kondominium pertama di Malaysia mempunyai sistem perlindungan tiga rangkai. "Sistem ini antaranya memperkenalkan teknologi tanpa sentuhan termasuk teknologi pengecaman muka dan sensor tanpa sentuhan. "Susulan pandemik COVID-19, semakin ramai orang menjadi lebih prihatin dan berhati-hati dengan keadaan sekeliling bagi mengelakkan daripada dijangkiti virus berkenaan. "Maka, teknologi tanpa sentuhan ini dapat mengurangkan risiko jangkitan kepada penduduk ini apabila tidak perlu menyentuh butang lif ketika mahu menuju ke kediaman masing-masing," katanya.

Soo Keat berkata, beliau menyasarkan pelabur, individu, keluarga dan profesional yang akan membeli projek berkenaan. Kondominium itu menawarkan sehingga 30 jenis kemudahan unik antaranya kolam renang, kebun komuniti, gimnasium, rumah hiburan, rumah belajar, gelanggang badminton, gelanggang mini futsal dan lounge kerja. Dari segi akses, ia terletak 100 meter sahaja dari Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan tidak jauh dari Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan AKLEH.

Share this