In the News

SASAR JUALAN 100%

Harian Metro - Saturday, 26 August 2017

Kuala Lumpur: Trinity Group Sdn Bhd (Trinity), pemaju hartanah butik optimis projek pembangunan terbarunya iaitu Trinity Lemanja mampu mencatatkan kadar pengambilan 100 peratus dalam tempoh dua bulan selepas dilancarkan awal September ini.

Pengasas dan Pengarah Urusannya Datuk Neoh Soo Keat berkata, keyakinan itu berdasarkan tawaran harga yang lebih rendah bagi projek terbabit iaitu RM500 sekaki persegi (skp) berbanding RM700 skp bagi projek lain di kawasan sekitar.

“Orang ramai digalakkan memiliki unit kondominium ini kerana ia projek pembangunan pegangan bebas pertama di Kepong,” katanya pada taklimat Trinity Lemanja, di sini, semalam.

Trinity Lemanja adalah projek pembangunan kondominium terdiri daripada dua blok 40 tingkat yang menawarkan 583 unit dengan keluasan daripada 960 hingga 1,173 kaki persegi (kp) dengan harga seunit bermula dari RM453,000 ke atas.

Projek yang memiliki nilai pembangunan kasar (GDV) RM320 juta itu dijangka siap menjelang 2021 di tanah seluas 1.13 hektar di Jalan Metro Prima, Kepong.

Beliau berkata, Trinity Lemanja direka untuk meningkatkan kecekapan ruang, mengimbangi trend keluarga dan memenuhi gaya hidup moden serta ideal bagi pembeli rumah pertama yang ingin menceburi pasaran hartanah atau memiliki aset persendirian.

“Kami yakin pemilik rumah berhak menjalani gaya hidup impian mereka dan berusaha memenuhi permintaan semasa serta keperluan pelanggan dengan fokus kepada penciptaan nilai,” katanya.

Dalam masa sama, Trinity menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan memperuntukkan pelaburan RM2 juta untuk memperbaiki prasarana jalan raya bagi memberi nilai tambah kepada bakal pembeli kelak.

Source: https://www.hmetro.com.my/bisnes/2017/08/257723/sasar-jualan-100

Share this