In the News

Trinity Group lancar 4 projek hartanah RM640j

Misc - Tuesday, 10 January 2012

TRINITY Group Sdn Bhd, pemaju hartanah tempatan akan melancarkan beberapa projek hartanah baru di sekitar Lembah Klang tahun ini membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM640juta. Pengarah Urusannya,Dato’ Neoh Soo Keat, berkata projek yang dirancang untuk dilancarkan tahun ini antaranya adalah di Serdang dan USJ 19 yang membabitkan pembangunan bercampur.

Katanya, aktiviti pembinaan kedua-dua projek itu dijangka bermula pada Mac atau pertengahan tahun bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa tempatan.

"Kami merancang untuk melancarkan empat projek masing-masing di Serdang dan USJ 19 pada tahun ini, manakala dua lagi iaitu di Ampang dan Taman Melawati tahun depan," katanya pada sidang media selepas majlis rasmi penyerahan kunci projek apartmen servis, The Zest di BukIt Jalil, semalam. Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung.

Pada majlis sama, Trinity Group turut merasmikan pembukaan susur jalan masuk ke The Zest bagi memudahkan akses penghuni berbanding jalan sedia ada yang sering sesak khususnya pada waktu puncak. Mengulas mengenai projek yang sedang dalam pembinaan, Neoh berkata, dua projek masing-masing membabitkan pembinaan kilang dan kondominium kos sederhana dengan kemudahan mewah yang dijangka siap awal tahun depan dan 2014 dijangka mampu meraih GDV RM620juta.

"Projek Latitute di USJ 19 membabitkan pembinaan 15 kilang dengan GDV mencecah RM70 juta yang dijangka siap awal 2013, manakala Z Residence dengan 1,136 unit kondominium yang dijangka siap pada 2014 itu mempunyai GDV RM500 juta," katanya.

Trinity Group juga, katanya, akan melabur RM3 juta bagi membangunkan jalan masuk ke Z Residence selepas memperuntukkan RM7 juta untuk membina susur jalan masuk ke The Zest dan perhentian bas berhawa dingin pertama berhampiran projek hartanah itu.

Mengenai The Zest, Neoh berkata, projek yang dibangunkan pada 2009 membabitkan 720 unit apartmen dan 44 unit kedai dengan harga antara RM250,000 hingga RM350,000 itu sudah dijual sepenuhnya.

"Tawaran harga yang berpatutan menyaksikan unit yang diperuntukkan kepada Bumiputera juga habis dijual." katanya.

Selain itu, katanya, syarikat akan meninjau tanah terutamanya di beberapa negara Asia selepas mengukuhkan kedudukan di sektor hartanah negara ini.

"Cadangan itu masih di peringkat awal dan proses kajian akan mengambil masa dua atau tiga tahun sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan," katanya.

Share this