Harian Metro – Saturday, 14 January 2012
PEMAJU hartanah tempatan, Trinity Group Sdn Bhd bakal melancarkan beberapa projek hartanah baru di sekitar Lembah Klang tahun ini dan 2013 membabitkan empat projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM640 juta.
Pengarah Urusannya, Dato’ Neoh Soo Keat berkata, antara projek yang dirancang untuk dilancarkan tahun ini di Serdang dan USJ 19, Subang Jaya, Selangor membabitkan projek pembangunan bercampur.
“Syarikat mengendalikan projek di Serdang dan USJ 19 tahun ini, manakala pelancaran dua projek lagi iaitu di Ampang dan Taman Melawati tahun depan.
“Aktiviti pembinaan dua projek itu dijangka bermula pada Mac atau pertengahan tahun bergantung kepada kelulusan pihak berkuasa tempatan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan kunci projek apartmen servis, The Zest di Bukit Jalil, baru-baru ini.
Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung. Menurutnya, projek Latitude di USJ 19 membabitkan pembinaan 15 kilang separa berangkai dengan GDV mencecah RM70 juta yang dijangka siap awal 2013.
“Bagi projek Z Residence, ia pembangunan 1,136 unit kondominium yang dijangka siap pada 2014 dengan GDV RM500 juta.
“Kami juga akan melabur RM3 juta bagi membangunkan jalan masuk ke Z Residence selepas memperuntukkan RM7 juta untuk membina susur jalan masuk ke The Zest di Bukit Jalil serta pembinaan perhentian bas berhawa dingin pertama berhampiran projek hartanah itu,” katanya.