In the News

Trinity Group bangunkan projek rumah RM640 juta

Kosmo - Tuesday, 10 January 2012

Trinity Group Sdn. Bhd. (Trinity Group), syarikat pemaju hartanah, merancang untuk memperkenalkan beberapa hartanah baharu termasuk empat projek pembangunan komersial dan kediaman di Lembah Klang pada tahun ini dan juga tahun depan dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM640 juta.

Pengarah Urusannya, Dato’ Neoh Soo Keat berkata, empat lokasi yang terlibat adalah USJ 19, Subang Jaya dan Serdang, Selangor; Jalan Ampang dan Taman Melawati, Kuala Lumpur. "Projek di Serdang yang melibatkan pembinaan bercampur iaitu unit-unit komersial dan kediaman pula dijangka dilancarkan pada bulan Mac ini, ia dilihat sebagai projek pertama kami pada tahun ini.

“Selebihnya akan disusuli sama ada pertengahan atau akhir tahun kerana ia bergantung kepada beberapa faktor termasuk kelulusan pihak berkuasa," katanya pada sidang akhbar yang diadakan selepas majlis penyerahan kunci projek kediaman apartmen servis The Zest@Kinrara 9 (The Zest) di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung. Soo Keat menjelaskan, pembangunan di USJ 19 dan Taman Melawati akan melibatkan pembinaan unit-unit kediaman, sementara pembinaan di Jalan Ampang pula akan terdiri daripada pembangunan komersial.

"Pada masa ini, kami akan terus kekal menjadi sebuah syarikat hartanah butik yang menawarkan pembinaan pada harga pertengahan tinggi dan terus memberikan nilai terbaik dan kepuasan kepada para pembeli," katanya.

Share this