In the News

Trinity mahu teroka projek luar negara

Utusan Malaysia - Tuesday, 10 January 2012

Pemaju hartanah butik, Trinity Group Sdn. Bhd. (Trinity) berhasrat untuk meneroka pembangunan hartanah di luar negara dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Pengarah Urusannya, Dato’ Neoh Soo Keat berkata, pada waktu ini, pihaknya dalam proses melaksanakan kajian pembangunan dan boleh laksana projek di luar negara.

Katanya, setakat ini, pihaknya mempunyai hasrat tersebut berikutan mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian.

"Jika boleh, kami mahu memulakan projek pembangunan di Asia atau Asia Tenggara terlebih dahulu berbanding di kawasan-kawasan dunia yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan kunci pangsapuri perkhidmatan The Zest@Kinrara 9 di sini hari ini. Pada majlis sama, Trinity turut melancarkan laluan akses baharu ke The Zest @Kinrara 9 yang bernilai RM7 juta. Majlis itu disaksikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung.

The Zest@Kinrara 9 meliputi 720 buah pangsapuri perkhidmatan yang projeknya bermula pada April 2009 yang lalu. Projek tersebut telah memperoleh sijil layak menduduki (CF) pada bulan lalu yang mana terlebih awal tiga bulan dari tarikh jangka siap.

Ketika ditanya kenapa penerokaan luar negara tidak dilakukan sekarang, Soo Keat menjawab, pada masa sekarang, pihaknya mahu mengukuhkan reputasi bagi projek-projek tempatan terlebih dahulu.

Katanya, Trinity mempunyai banyak projek yang perlu dilaksanakan pada tahun ini dan juga pada tahun depan.

"Kami amat mementingkan kualiti projek pembinaan bagi setiap projek yang dilaksanakan. Jadi, kami mahu dikenali sebagai pemaju berkualiti dan dipercayai sebelum melangkah kaki ke luar negara." ujarnya.

Jelas Soo Keat lagi, Trinity turut merancang untuk meraih dan mencapai nilai pembangunan kasar (GDV) daripada projek-projek baharu sebanyak RM640 juta pada tahun ini.

Menurut beliau, syarikat mempunyai empat buah projek dalam perancangan bermula tahun ini dan juga pada tahun depan.

Katanya, keempat-empat projek tersebut akan dijalankan di Lembah Klang iaitu di Jalan Ampang, Melawati, Serdang dan USJ19.

"Sesetengah projek baharu yang akan dijalankan adalah pembangunan komersial dan kediaman," katanya.

Menurut Soo Keat, pada waktu ini, pihaknya sedang membangunkan dua projek iaitu The Latitude dan The Z Residence. Jelas beliau, The Latitude merupakan projek pembangunan industri manakala The Z Residence adalah pembangunan kediaman.

Share this