In the News

PPC dipilih bina The Z Residence

Kosmo - Tuesday, 28 February 2012

Pemaju bersepadu, ,Trinity Group Sdn. Bhd. (Trinity Group) akan bekerjasama dengan Putra Perdana Construction Sdn. Bhd. (PPC) untuk pembangunan projek hartanah terbaharu, The Z Residence, yang terletak di Bukit Jalil di sini.

Projek The Z Residence, yang dijadualkan siap pada bulan Jun 2014, terdiri daripada empat blok kondominium mewah setinggi 26 dan 27 tingkat dan menyediakan kemudahan berciri eksklusif seperti taman terapung, sebuah kolam infiniti dan ruang istirehat terbuka di setiap menara kondominium.

Menurut Pengarah Urusan Trinity Group, Dato’ Neoh Soo Keat, pemilihan PPC adalah bagi mencapai kawalan kualiti pembinaan The Z Residence, pada masa yang sama memastikan perancangan tapak binaan dan pengurusan projek yang mampan.

"Bagi mengekalkan standard tertinggi dalam setiap rantaian bekalan kami kepada pelanggan, PPC dipilih berdasarkan keupayaan terbukti mereka dalam melaksanakan projek berkualiti lebih awal dari yang dijadualkan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Merupakan anak syarikat Putrajaya Perdana Bhd., PPC telah menyumbang dalam pembangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, kediaman mewah Pavilion Residences, Marc Service Suites di Kuala Lumpur dan One Menerung di Bangsar.

Selain kepakaran dalam pembinaan bangunan cekap tenaga dan mesra alam, PPC telah meraih Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia 2010 di bawah anugerah kontraktor kategori G7 dan anugerah khas untuk kategori inovasi.

Projek The Z Residence telah dilancarkan dan mendapat kadar pengambilan sehingga 50 peratus dalam tempoh tiga bulan pertama pelancarannya dan setakat ini, lebih 85 peratus jualan telah dicapai. 

Source: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0228&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

Share this