In the News

Trinity Group sasar jualan RM600j

Kosmo! - Friday, 15 April 2022

Pemaju hartanah butik, Trinity Group Sdn. Bhd. (Trinity Group) menyasarkan jualan sebanyak RM600 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Mac depan serta menyasarkan lonjakan jualan kepada RM1 bilion bagi tahun kewangan seterusnya.

Pengasas dan Pengarah Urusannya, Dato' Neoh Soo Keat berkata, sasaran tersebut bakal disokong pelancaran baharu termasuk projek kondominium Trinity Wellnessa di Ampang serta dua projek apartmen perkhidmatan di Kinrara dan Petaling Jaya bagi tempoh kewangan semasa.

“Projek kami di Kinrara dijangka dilancarkan pada bulan September atau Oktober ini, manakala pembangunan di Petaling Jaya bakal dilancarkan pada Mac 2023.

“Sementara itu, fasa satu projek Trinity Wellnessa yang dilancarkan pada September lalu mendapat sambutan baik dengan kadar pengambilan 100 peratus, melibatkan 237 unit kediaman dengan jumlah jualan RM156 juta.

“Bagi fasa kedua yang dilancarkan hari ini (semalam), kami telah berjaya mengumpul sebanyak 3,000 pendaftaran minat,” katanya kepada pemberita di Galeri Jualan Trinity Wellnessa semalam.

Trinity Wellnessa yang terdiri daripada dua fasa memiliki dua menara 30 tingkat merangkumi 463 kediaman yang dibina atas tanah berstatus pegangan bebas seluas 1.57 hektar di Beverly Heights, melibatkan nilai pembangunan kasar RM315 juta.

Fasa kedua dijual pada harga antara RM630,000 hingga RM760,000 dengan saiz binaan 1,008 kaki persegi (93.64 meter persegi) dan 1,286 kaki persegi (119.47 meter persegi). Unit yang lebih luas merupakan kediaman dwikunci.

Menurut Soo Keat, konsep, rekaan dan penawaran Trinity Wellnessa tertumpu pada tiga tonggak kesejahteraan yang menjadi signaturnya.

“Tonggak pertama ialah teknologi tanpa sentuh yang memberikan pengalaman akses lancar melibatkan penggunaan teknologi seperti sistem pengecaman wajah serta pengesan pergerakan, manakala tonggak kedua adalah rekaan bertumpukan kesejahteraan yang memastikan setiap unit memiliki 100 peratus lebih pencahayaan serta pengudaraan berbanding keperluan standard.

“Terakhir adalah kemudahan bertumpukan kesejahteraan, yang mana lebih 30 kemudahan disediakan buat penduduk termasuk dua ciri utama iaitu panggung terapung dan ruang kerja dan istirahat Nespresso,” ujarnya.

Share this