In the News

Saat terbaik beli kediaman baharu

Kosmo - Monday, 12 July 2021

KOSMO!: Boleh ceritakan mengenai projek terbaharu syarikat?

Soo Keat: Trinity Wellnessa dibangunkan atas tanah seluas 1.57 hektar, menawarkan 463 unit kediaman dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM318 juta. Pembangunannya memfokuskan kepada konsep wellness (kesejahteraan) sebagai asas, antaranya dengan menerapkan kemudahan akses masuk tanpa sentuh menggunakan teknologi imbasan wajah, sistem pengurusan pelawat komprehensif serta reka bentuk yang mengutamakan keluasan ruang bagi memberi pencahayaan dan pengudaraan Iebih baik.

Turut disediakan dek podium berkeluasan 0.85 hektar dengan kemudahan 30 fasiliti yang menggalakkan gaya hidup sihat dan kesejahteraan seisi keluarga. Dua jenis unit ditawarkan berukuran 93.64 meter persegi dan 119.47 meter persegi pada harga bermula RM563,888.

Adakah sekarang masa sesuai untuk pelancaran projek baharu?

Projek ini sebenarnya dijadualkan untuk dilancarkan pada Julai, namun telah ditangguhkan kepada Ogos. Sekarang sentimen pengguna memang dilihat agak negatif, namun saya percaya akan bertambah baik dengan penyampaian pelbagai bentuk bantuan yang telah diumumkan kerajaan, terutamanya apabila moratorium bank enam bulan sudah berjalan, ditambah pengeluaran i-Citra yang akan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.

Persekitaran semasa juga menggalakkan pemilikan rumah, dengan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) akan diteruskan sehingga hujung Disember ini yang memberikan pengecualian duti setem, selain diskaun rumah sebanyak 10 peratus. Selain itu, kadar faedah rendah kini turut meningkatkan kemampuan pemilikan rumah. Sebelum ini, golongan bergaji RM5,000 sebulan hanya sesuai membeli rumah pada harga lingkungan RM350,000 hingga RM400,000, namun kini mereka mampu membeli rumah sehingga RM450,000.

Namun dalam keadaan sekarang, pasti ramai yang mengalami sikap tunggu dan lihat sebelum membuat pembelian?

Sekarang masa yang sesuai untuk membeli rumah bagi mereka yang punya kapasiti berbuat demikian. Saya menjangkakan harga rumah akan meningkat dalam lingkungan 15 hingga 20 peratus pasca pandemik, seawal setahun dari sekarang. Antara faktor yang bakal merangsang peningkatan harga ialah kos bahan mentah yang semakin mahal, antaranya besi yang naik 50 peratus, manakala kos pengangkutan turut naik. Bekalan bahan pembinaan juga terhad akibat terputus rantaian pembekalan disebabkan pandemik.

Buat sementara waktu, pemaju boleh mengorbankan margin keuntungan mereka untuk terus menawarkan harga kompetitif, namun dalam perniagaan tiada sesiapa pun yang mahu mengalami kerugian. Saya berpandangan pemaju tidak boleh mengelak daripada menaikkan harga jualan dalam tempoh setahun setengah atau dua tahun lagi. Pada 2023, harga kediaman akan naik dan bagi mereka yang punya lebihan wang, sekarang masa terbaik untuk melabur hartanah kediaman.

Tidakkah peningkatan kos pembinaan akan meningkatkan risiko pembeli rumah sekarang apabila pemaju mungkin gagal menyiapkan rumah yang dibeli pada harga semasa?

Penting bagi pengguna untuk memilih pemaju yang memiliki rekod prestasi baik, manakala jumlah projek terbengkalai di negara ini secara keseluruhannya terkawal, di bawah satu peratus. Di Lembah Klang, hanya terdapat tiga projek terbengkalai sejak tahun 2018 yang melibatkan pembangunan kediaman dan pusat komersial, yang lain semuanya siap. Namun masih terdapat beberapa projek yang mengalami kelewatan kerana pandemik.

Apa perancangan syarikat menuju ke hadapan?

Selepas Trinity Wellnessa, kami akan melancarkan sebuah lagi projek kediaman bertingkat di tapak bersebelahan sekitar bulan Februari tahun depan. Trinity juga masih memiliki sejumlah bank tanah berkeluasan lebih daripada 16 hektar dalam kawasan bandar di Bukit Kiara, Ampang, Serdang, Subang Jaya dan Johor Bahru untuk dibangunkan dalam tempoh empat tahun lagi sehingga 2026 dengan anggaran GDV RM5 bilion untuk memberi pendapatan berterusan buat syarikat.

Share this