In the News

Ini masa sesuai beli kediaman

Kosmo - Monday, 02 July 2018

 

KUALA LUMPUR — Savills (Malaysia) Sdn. Bhd. mengunjurkan harga pasaran hartanah, khususnya kediaman, akan meningkat mulai separuh kedua tahun depan.

Menurut Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Christopher Boyd, kenaikan tersebut ekoran peningkatan permintaan pembeli dengan penawaran kediaman yang terhad dengan permintaan.

"Pada masa ini pasaran hartanah kediaman tidak menunjukkan peningkatan harga yang mendadak ekoran isu stok kediaman di pasaran yang masih tidak terjual serta sentimen pelabur terhadap ketidaktentuan pasaran saham disebabkan oleh kesan luaran seperti perang dagangan antara China dan Amerika Syarikat.

"Selain itu, pembeli juga mengambil sikap tunggu dan lihat ekoran pilihan raya umum lalu serta langkah-langkah yang akan diambil kerajaan baharu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu taklimat media bersama Pengasas dan Pengarah Urusan Trinity Group Sdn. Bhd., Datuk Neoh Soo Keat di sini baru-baru ini.

Christopher menambah, pihaknya menjangkakan permintaan akan turut meningkat dengan kenaikan pendapatan serta penambahan projek-projek hartanah.

"Walaupun pada masa ini kadar pembelian masih lagi menurun tetapi kami percaya pasaran akan mengukuh, terutamanya setelah cukai jualan dan perkhidmatan dilaksanakan semula pada 1 September ini.

"Secara peribadi, saya merasakan sekarang adalah masa terbaik untuk membeli kediaman," katanya memaklumkan bahawa Malaysia mempunyai kadar pemilikan hartanah untuk tujuan kediaman yang tinggi disebabkan faktor budaya.

Ini, jelas beliau, disebabkan sokongan pembiayaan oleh institusi kewangan kepada mereka yang layak, di samping akses pemilikan yang lebih mudah seperti duti setem dan caj guaman yang agak rendah berbanding negara-negara lain termasuk Singapura.

Tambah beliau, permohonan pinjaman kediaman bagi Januari hingga Februari 2018 adalah sebanyak RM33 juta berbanding RM32 juta bagi tempoh sama tahun sebelum.

"Jumlah amaun permohonan pinjaman yang diluluskan bagi tempoh Januari hingga Februari lalu adalah RM14 bilion daripada RM13 bilion bagi dua bulan sama 2017," katanya.

Pada tahun 2017, permohonan pinjaman kediaman adalah sebanyak RM239.6 bilion iaitu 15.6 peratus lebih tinggi berbanding 2016.

Jumlah amaun permohonan yang diluluskan pada 2017 adalah RM101.5 bilion, iaitu pada kadar 42.4 peratus berbanding 42.3 peratus yang dicatatkan pada tahun sebelum.

"Pembelian hartanah kekal sebagai keputusan pelaburan yang signifikan bagi rakyat Malaysia selain pelbagai skim diperkenalkan kerajaan untuk memberi sokongan kepada pembeli rumah pertama dan mereka yang kurang berkemampuan," ujarnya.

Share this