In the News

Trinity Group perjelas tiada kaitan dengan syarikat Trinity Corporation

Utusan Malaysia - Thursday, 12 July 2012

KUALA LUMPUR 12 Julai - Trinity Group Sdn. Bhd. (Trinity Group), iaitu sebuah syarikat pemaju tampil membuat penjelasan bahawa syarikat tersebut tiada kaitan dengan Trinity Corporation Berhad (Trinity Corporation) yang sebelum ini dikenali sebagai Talam Corporation Berhad (Talam).

Pengarah Urusan syarikat berkenaan, Datuk Neoh Soo Keat berkata, pihaknya terpaksa membuat penjelasan itu ekoran timbul kekeliruan masyarakat terutama dalam kalangan pembeli rumah mengaitkan Trinity Group dengan Talam.

''Apa yang mendukacitakan kita akibat daripada kekeliruan itu ada kalangan pembeli bertindak membatalkan proses pembelian rumah masing-masing.

''Ini secara langsung memberi kesan kepada syarikat kami berikutan timbulnya kekeliruan antara Trinity Group dan Trinity Corporation walaupun saya sedaya upaya meyakinkan para pembeli yang syarikat kami ini tidak ada kena mengena dengan Trinity Corporation,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabatnya di Bandar Kinrara dekat sini hari ini.

Trinity Group merupakan sebuah syarikat pemaju perumahan yang mempunyai beberapa projek di Seri Kembangan, USJ Melawati, Serdang dan Johor.

Antara projek syarikat tersebut pada masa ini ialah servis apartmen Heron, servis apartmen Zest, projek perumahan Z, projek Zeva@Equine South dan penjualan lot-lot banglo.

Soo Keat berkata, Trinity Group ditubuhkan pada 2004 manakala Talam menukar namanya kepada Trinity Corporation pada tahun 201I.

Jelas beliau lagi, selepas berlaku penukaran nama tersebut, ia turut memberi kesan kepada syarikatnya pada tahun berkenaan.

''Kami kemudian terpaksa membuat satu penjelasan khusus mengenai kedudukan Trinity Group yang tidak ada kaitan dan tidak ada kena mengena dengan Trinity Corporation.

'' Keadaan agak pulih selepas itu, namun ia kembali menjadi keliru setelah timbulnya isu membabitkan Talam sejak akhir-akhir ini,'' katanya lagi.

Mengulas lanjut, Soo Keat berkata, pihaknya telah membawa isu nama Trinity itu ke mahkamah menuntut supaya syarikatnya sahaja boleh menggunakan nama tersebut.

''Kami telah menyaman Trinity Corporation berhubung isu ini dan perbicaraan telah dimulakan pada November 2011. Kami perlu berbuat demikian bagi memastikan nama Trinity ini tidak digunakan oleh pihak lain.

''Perbicaraan telah pun tamat pada Mei lalu dan kita kini di peringkat mendengar keputusan. Saya yakin mahkamah akan membuat keputusan dalam isu ini seadil-adilnya,'' katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pengumuman mengenai kekeliruan itu pada hari ini bukan kali yang pertama.

''Kami sebelum ini pernah membuat pengumuman yang serupa setelah syarikat Talam menukarkan namanya kepada Trinity Corporation. Namun, tidak sangka pula ia masih timbul kekeliruan.

''Kepada pihak Talam Corporation pula adalah diharapkan mereka juga membuat kenyataan atau sidang akhbar serupa supaya orang ramai tahu dan sedar bahawa syarikat mereka (Trinity Corporation) tiada kena mengena dengan syarikat kami, Trinity Group,'' katanya lagi.

Source: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120713/dn_07/Trinity-Group-perjelas-tiada-kaitan-dengan-syarikat-Trinity-Corporation

Share this