In the News

Pemaju setuju perlahan binaan

Misc - Friday, 01 July 2011

KUALA LUMPUR: Penduduk sekitar mampu menarik nafas lega berikutan pemaju Kondominium Bukit OUG, Trinity Group Sdn Bhd mengumumkan pihaknya memperlahankan kerja pembinaan sehingga mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membolehkan kerja perlindungan dijalankan sebagai langkah keselamatan. Pengarah Urusannya, Dato’ Neoh Soo Keat berkata, kerja penyelenggaraan perlindungan sekitar kawasan berkenaan membuktikan tanggungjawab pihaknya menyelesaikan beberapa isu ditimbulkan penduduk setempat termasuk kemungkinan berlaku hakisan tanah kerana kondominium itu dibina bersebelahan cerun. "Kesan hakisan yang ada di kawasan itu kini adalah hasil daripada pembangunan terdahulu namun kami berusaha menstabilkan cerun dengan mengurangkan ketinggian cerun dari 23.5 meter kepada sembilan meter disamping membina pembinaan tiga meter pagar zink sementara sebagai penghadang keselamatan di tapak bangunan," katanya pada majlis penerangan kepada media berkenaan isu itu, semalam. Menurutnya, pihaknya memahami keresahan penduduk sekiranya kerja meratakan cerun akan memberi kesan kepada mereka namun pihaknya sudah bersedia bertanggungjawab sekiranya sebarang kejadian berlaku. Sementara itu, Neoh berkata, bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit pada masa depan, pihaknya juga akan membina dua jalan baru dengan peruntukkan sebanyak RM3 juta bagi melaksanakan projek itu. "Jalan baru ini dilihat mampu memperbaiki laluan trafik yang sesak di kawasan terbabit dengan menghubungkan tapak pembinaan dan Lebuhraya Bukit Jalil dengan anggaran 12 kilometer lebih dekat berbanding jalan yang ada ketika ini,' katanya. Katanya, DBKL akan mengadakan sesi penerangan berkenaan isu terbabit kepada penduduk setempat pada 27 Julai ini.

Share this