In the News

Zeva Studio dilancar Sabtu ini

Kosmo - Wednesday, 08 August 2012

Fasa ketiga projek pembangunan bercampur Apartmen Zeva Studio (Zeva) milik Trinity Group Sdn. Bhd. (Trinity Group) bakal dilancarkan Sabtu ini.

Projek yang terletak di Bandar Seri Kembangan, Selangor yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2015 itu mempunyai tiga blok yang merangkumi servis apartmen, apartmen studio dan kedai pejabat.

Pengarah Urusan Trinity Group, Dato’ Neoh Soo Keat berkata, permintaan yang begitu memberangsangkan menyebabkan pihaknya bersedia untuk membuka jualan bagi fasa ketiga iaitu blok C setinggi 20 tingkat dengan memiliki 320 unit studio.

“Setiap unit yang ada di blok ini mempunyai keluasan 42 meter persegi dan 60 meter persegi. “Kami menjangkakan setiap unit akan dijual pada harga berpatutan dengan anggaran RM220,000,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Soo Keat menerangkan, terdapat beberapa keistimewaan menanti pelanggan yang melabur dalam fasa berkenaan seperti gimnasium, kolam renang dan pelantar pemandangan.

“Pelantar yang hanya terdapat di blok C itu merupakan inspirasi daripada Menara Willis di Chicago, Amerika Syarikat dengan melibatkan pembinaan tiga lapisan kaca,” ujarnya.

Ujar beliau, pelantar berkenaan yang terletak setinggi 135 meter di atas paras laut berkenaan bakal menawarkan pemandangan indah di kawasan kejiranan seperti Putrajaya dan Cyberjaya. Tambah Soo Keat, syarikat berharap fasa ketiga ini bakal mendapat sambutan menggalakkan.

Share this