In the News

Hartanah mewah di Equine Selatan

Kosmo - Monday, 27 August 2012

BERLOKASI di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor dan berhadapan dengan pusat beli-belah AEON Jusco Equine Park, pemaju perumahan Kumpulan Trinity memajukan sebuah lagi hartanah berstatus mewah.

Zeva@Equine South (Zeva) menawarkan konsep perumahan urban terbaharu dengan pengalaman holistik dan penuh lengkap untuk pembeli yang sedang merancang mendiami satu lokasi strategik. “Kami mahu memperkenalkan satu pembangunan bercampur di Zeva membabitkan 15 tingkat apartmen perkhidmatan dan sebuah bangunan 20 tingkat blok apartmen studio,” kata Pengarah Urusan dan Pengasas Kumpulan Trinity, Dato’ Neoh Soo Keat.

Sejumlah 446 unit apartmen perkhidmatan, 320 unit apartmen studio dan 12 unit runcit ditawarkan Zeva. Saiz apartmen Zeva bermula daripada 81.85 meter persegi dengan harganya pula bermula dari RM350,000 seunit.

Elemen hijau

Dengan penyampaian konsep urban moden dalam persekitaran tropika, semua kemudahan di Zeva mudah diakses dengan sistem keselamatan yang rapi. Dipasang kamera litar dengan operasi 24 jam, semua pintu masuk disediakan kawalan kad akses.

“Kami tidak berkompromi dalam aspek keselamatan. Itu antara sebab mengapa Zeva dilihat satu pembangunan perumahan yang serba lengkap untuk sesiapa sahaja, baik pasangan baru berkahwin, keluarga, pelajar mahupun golongan profesional," ujar Soo Keat lagi.

Dari segi kemudahan, apartmen perkhidmatan Zeva bakal dibina dengan kolam renang berukuran saiz Olimpik iaitu 50 meter yang direka khas di atas tingkat atas sebagai penambah nilai kepada penghuni kelak sama ada untuk berekreasi, menghilangkan tekanan selepas waktu kerja atau bersenam dalam persekitaran yang paling ideal.

Di samping itu, setiap blok tersebut juga mempunyai koridor yang akan memudahkan pengaliran udara secara baik, cahaya yang mencukupi dalam bangunan, tidak ketinggalan juga laman tiga tingkat yang akan menghijaukan lagi bangunan tersebut.

“Semua konsep yang direka untuk Zeva menitikberatkan elemen hijau dan persekitaran yang selesa,” ujar Soo Keat.

Selain daripada semua kemudahan yang disenaraikan, kemudahan umum lain seperti kafetaria, dewan serbaguna, kawasan barbeku, dobi, pusat jagaan kanak-kanak, taman permainan dan lain-lain turut disediakan. Bagi apartmen perkhidmatan, ia didatangkan dalam empat pilihan unit iaitu unit dua atau tiga bilik dengan kawasan bermula daripada 81.85 hingga 142.7 meter persegi.

Dalam pada itu, blok studio Zeva pula akan berlokasi di antara Jalan Putra Permai dan Persiaran Pinggiran Putra sekali gus memberi impak pemandangan visual yang terbaik di kawasan itu. Bakal memiliki kafe taman dengan dilengkapi kemudahan sistem Wi-Fi, unit studio apartmen Zeva diperkenalkan dengan saiz bermula 42.27 meter persegi.

Bercakap mengenai jaringan laluan jalan raya Zeva, Soo Keat berkata, ia sebuah lokasi strategik kerana sangat mudah diakses ke Kuala Lumpur dan Petaling Jaya menerusi lebuh raya utama seperti Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP), Lebuh Raya Ekspres Klang Selatan (SKVE) dan projek masa depan Lebuh Raya Ekspres Kinrara Damansara (Kidex).

Share this