In the News

TRINITY GROUP MAJUKAN TIGA PROJEK RM1.16B

Berita Harian - Saturday, 01 September 2018

Trinity Group Sdn Bhd (Trinity Group), pemaju hartanah tempatan, memiliki tiga projek pembangunan utama yang sedang dan akan dimajukan membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.16 bilion.

Pengasas yang juga Pengarah Urusannya, Datuk Neoh Soo Keat, berkata tiga projek utama itu masing-masing Trinity Aquata di Sungai Besi, Kuala Lumpur; Trinity Lemanja di Kepong, Selangor dan Trinity Pentamont di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

"Pembangunan tiga projek ini membabitkan anggaran GDV masing-masing RM374 juta (Trinity Aquata), RM344 juta (Trinity Lemanja) dan RM437 juta (Trinity Pentamont) di mana ia dijangka siap sepenuhnya antara tahun ini dan 2022," katanya kepada Bisnes NSTP.

Pembangunan projek
Bagi Trinity Aquata, projek pembangunan hartanah jenis kondominium itu dilancarkan pada Jun 2015 dan dijangka siap sepenuhnya tahun ini dengan 492 unit kondominium ditawarkan.

Projek Trinity Lemanja pula membabitkan 583 unit kondominium dimajukan di atas tanah berkeluasan 1.13 hektar di Kepong dijangka siap pada 2021.

Untuk projek Trinity Pentamont di Bukit Kiara, Soo Keat berkata, ia istimewa memandangkan ia ditawarkan pada harga RM600 sekaki persegi berbanding harga semasa sekitar RM1,000 sekaki.

"Kami menawarkan penthouse dengan keluasan 2,057 kaki persegi ke atas. Tidak hanya saiz besar, malah ia menawarkan pelbagai kemudahan terbaik untuk pemilik," katanya.

Simpanan tanah 15.8 hektar
Mengulas mengenai simpanan tanah yang dimiliki, beliau menjelaskan, Trinity Group memiliki simpanan tanah berkeluasan 15.8 hektar di Serdang, USJ, Bukit Jalil dan Johor membabitkan GDV RM4.02 bilion.

"Simpanan tanah yang kami miliki akan dimajukan dalam tempoh empat hingga lima tahun bergantung kepada keadaan ekonomi semasa," katanya.

Soo Keat berkata, Trinity Group sedang meninjau peluang untuk mendapatkan simpanan tanah di sekitar Greater Kuala Lumpur bagi memastikan projek pembangunan berterusan dapat dilaksanakan.

Share this